Petugas daripada pelbagai agensi melakukan SAR pada hari kedua pencarian mangsa. Foto: TVS.

Saksi lihat bot bergerak laju sebelum hilang kawalan, dipercayai karam

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 27 Jan: Saksi melihat bot yang hilang bersama seorang penumpangnya di perairan berhampiran Pasir Panjang menuju ke perairan Sedungus Salak, di sini pagi semalam bergerak laju sebelum hilang kawalan dan dipercayai karam.

Menurut Atiqah Bustari, 30, bot kecil dinaiki mangsa dilihat bergerak laju dari Pulau Kera sebelum tenggelam secara tiba-tiba di perairan Sedungus.

“Saya sedang istirahat bersama sepupu saya ketika saya terlihat bot itu karam dan selepas daripada itu, mangsa tidak kelihatan lagi.”

“Ketika itu angin kencang dan laut juga bergelora, jadi saya dan saksi lain tidak mampu berbuat apa-apa, “ katanya ketika ditemui TVS di lokasi kejadian, hari ini.

Melihat kepada situasi itu, beliau terus menghubungi pihak Polis untuk melaporkan kejadian.

Saksi kejadian, Atiqah Bustari. Foto: Faitullah Morni (TVS)

Gambaran serupa didakwa oleh salah seorang saksi lagi, Abu Samah, 69, mendedahkan mangsa yang mengenakan baju berwarna hitam itu menaiki bot yang bergerak laju sebelum tiba-tiba hilang daripada pandangannya.

Warga emas itu memberitahu melihat insiden berkenaan beliau lantas meminta pertolongan penduduk kampung bagi mengenal pasti identiti mangsa, namun katanya, tiada individu yang tampil bagi mengesahkannya.

“Saya sendiri tidak cam (siapakah) mangsa dan bot yang dinaikinya juga tidak pernah dilihat sebelum ini.”

“Jika bot penduduk kampung di sini memang saya kenal siapa pemiliknya, “ ujarnya.

Seorang lagi saksi, Abu Samah. Foto: Faitullah Morni (TVS)

Sementara itu, Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Kuching, Asisten Komisioner (ACP) Ahsmon Bajah ketika dihubungi TVS hari ini memaklumkan, identiti mangsa masih belum dikenal pasti susulan tiada laporan polis berkaitan kehilangan ahli keluarga diterima pihaknya setakat hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua yang disambung hari ini bermula jam 8 pagi tadi telah melibatkan beberapa agensi keselamatan yang lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perikanan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Sarawak Coastguard (SCG).

Semalam (26 Jan) seorang lelaki dilaporkan hilang selepas bot kecil yang dinaikinya dipercayai karam di kawasan perairan berhampiran Pasir Panjang menuju Sedungus Salak.

Susulan laporan itu, operasi SAR diaktifkan dengan turut melibatkan pemantauan udara menggunakan dron dari Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU). – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan