KUCHING, 27 Jan: Bakat baharu yang dikenal pasti menerusi siri jelajah pra musim 2023 di zon tengah Sarawak bakal menyertai skuad utama pasukan Kuching City FC.
Hasrat itu, menurut Ketua Eksekutifnya, Iswandi Ali Hassan, berhubung pihaknya melihat prestasi positif yang dipamerkan beberapa pemain sepanjang perlawanan persahabatan sebelum ini.
“Dalam perlawanan persahabatan itu juga kami telah melihat terdapat tiga pemain atau bakat baharu yang berpotensi di Mukah, manakala di Betong kita telah mengenal pasti lima hingga enam pemain yang berpotensi,” katanya.
Menurut Iswandi, penutup jelajah pra musim di zon tengah akan menyaksikan Kuching City FC menentang pasukan Nangka United FC di Sibu 28 Januari ini.
Aksi berkenaan katanya sebelum berkunjung ke Kemboja bagi mengadakan perlawanan persahabatan menentang beberapa kelab di negara terbabit bagi memantapkan persefahaman skuad bimbingan jurulatih Irfan Bakti awal bulan depan.
Kuching City FC dijadual akan membuka tirai Liga Super 2023 di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu sebagai gerakan pertama menentang pasukan Kelantan FC pada 25 Februari nanti. – TVS