KOTA SAMARAHAN, 27 Jan: Pertama kali muncul di Sarawak, penyanyi Indonesia Cakra Khan berjaya memukau para penonton menerusi persembahan mantap dan vokal yang bertenaga.
Ternyata aksi sulung beliau di Bumi Kenyalang tidak menghampakan – satu persembahan yang cukup menghiburkan.
Penyanyi bersuara unik itu memukau penonton lebih 1,200 orang dengan mempersembahkan lagu-lagu hits seperti ‘Kekasih Bayangan’, ‘Kepada Hati’ dan ‘Harus Terpisah’.
Tidak ketinggalan menyaksikan konsert mini di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol.
Baca artikel berkaitan sini:
- 1. Cakra Khan meriahkan program FACA FEST 2023 di UNIMAS
- 2. Cakra Khan bagi markah 9 daripada 10 untuk Laksa Sarawak
Beliau yang merupakan peminat Cakra Khan berkata, pujian harus diberikan kepada penganjur konsert mini berkenaan.
“Syabas dan penghargaan kepada para pelajar Pengurusan Seni di bawah Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) setiap tahun telah berjaya mengurus acara FACA Fest dengan begitu baik,” ujarnya.
Abdullah juga yakin dengan pengalaman mengurus konsert membabitkan artis terkenal antarabangsa, para pelajar akan memperolehi ilmu berguna untuk digunakan setelah tamat pengajian.
“Pengalaman mengurus secara langsung sebuah produksi konsert seperti itu telah memberi pendedahan yang bernilai kepada para pelajar yang terlibat tentang pelbagai aspek penting dalam pengurusan sesebuah acara atau majlis,” katanya.