JAKARTA, 27 Jan: Pemain beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah berjaya mara ke separuh akhir selepas menundukkan gandingan dari China, Li Wen Mei-Liu Xuan Xuan, 21-10, 21-12 dalam 37 minit pertandingan.
Meskipun begitu, masing-masing mengakui belum berpuas hati atas permainan itu serta berharap untuk beraksi lebih baik dalam perlawanan separuh akhir esok.
“Kita mahu menambahbaik lagi dan boleh menyusun ‘game plan’ secara konsisten agar tiada kesalahan yang dilakukan,” kata Thinaah kepada TVS selepas perlawanan.
Atlet berusia 25 tahun itu juga meyakinkan mereka akan menumpukan sepenuh perhatian sepanjang berentap pada kejohanan tersebut meskipun telah tampil cukup baik setakat ini.
Sementara itu beregu lelaki nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Woi Yik gagal membaca corak permainan lawan apabila tersingkir dalam kejohanan ini.
Beregu itu tewas selepas menentang beregu muda China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong straigh set, 21-17, 21-10 meskipun berupaya merapatkan kedudukan namun harus akur dengan kekalahan kerana pelbagai kesilapan langkah dilakukan.
Keputusan sama juga harus diterima oleh beregu campur, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang tersungkur oleh gandingan nombor tiga dunia, Thom Gicquel-Delphine Delrue dengan perolehan mata 16-21, 19-21 dan seterusnya menyaksikan Malaysia mempertaruhkan wakil tunggal untuk mara ke separuh akhir kejohanan ini. – TVS