KUCHING, 27 Jan: Bagi mengekalkan tahap imunisasi menentang COVID-19, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner (ACP) Ahsmon Bajah mengetuai pegawai dan anggotanya menerima dos penggalak kedua, hari ini.
Menurutnya, pengambilan dos kedua penting bagi memastikan setiap anggota dan pegawai polis mendapat perlindungan sewajarnya daripada kesan COVID-19.
“Penting bagi setiap anggota sebagai agensi penguat kuasa untuk mendapatkan suntikan dos penggalak kedua ini kerana kita akan sentiasa bersama dengan masyarakat dalam apa keadaan sekalipun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pemberian Dos Penggalak Covid-19 kepada anggota Polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, hari ini.
Pada program itu, 202 anggota dan pegawai polis menerima dos penggalak kedua vaksin COVID-19 daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut Ahsmon, program pemberian suntikan dos penggalak kedua melibatkan semua sembilan balai polis di bawah seliaan IPD Kuching membabitkan anggota dan ahli keluarga polis. – TVS