KOTA SAMARAHAN, 27 Jan: Penyanyi terkenal dari Indonesia, Cakra Khan teringin hendak makan Laksa Sarawak lagi jika diberi kesempatan untuk menjejak kaki ke Bumi Kenyalang.
Beliau memberi skor sembilan daripada 10 untuk Laksa Sarawak yang dinikmatinya.
“Bagi saya, apabila melawat ke tempat yang baharu, makanan adalah paling utama. Inilah pertama kali saya berada di Sarawak. Maka, ramai di sini mencadangkan saya untuk mencuba Laksa Sarawak.
Baca artikel berkaitan sini:
- 1. Cakra Khan meriahkan program FACA FEST 2023 di UNIMAS
- 2. Muncul julung kali di Sarawak, Cakra Khan memukau penonton dengan vokal mantap
“Saya sangat suka makanan berkari. Jadi Laksa Sarawak ada rasa seakan-akan kari. Laksa Sarawak sangatlah sedap, nak cuba lagi,” katanya kepada TVS selepas selesai membuat persembahan malam penutupan FACA FEST 2023 di DeTAR Putra, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini pada malam Khamis.
Pada masa sama, beliau turut berterima kasih kepada UNIMAS kerana telah menjemputnya untuk mengadakan konsert mini dan bertemu para peminat.
Cakra memberitahu bahawa beliau teruja apabila mengetahui konsert mini itu idea oleh pelajar universiti berkenaan.
“Orang di sini baik-baik belaka dan saya tabik dengan pengurusan acara di sini kerana telah bertungkus lumus menyediakan perkhidmatan terbaik dari awal hingga ke sidang media yang telah dianjurkan petang tadi,” ujarnya.
Acara FACA Fest merupakan satu program wajib yang perlu dilaksanakan oleh pelajar Pengurusan Seni di bawah Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) setiap tahun.

Sementara itu Penasihat FACA FEST 2023, Mohd Sharizam Hamzah berkata tujuan acara tersebut dianjurkan adalah untuk mempratikkan apa pelajar jurusan Pengurusan Seni pelajari di dalam kelas dan diterapkan dalam dunia sebenar pengurusan acara.
“Selaku pensyarah kepada anak murid, besarlah harapan saya sekiranya kadar kebolehpasaran graduan Pengurusan Seni meningkat untuk mendapatkan pekerjaan selepas tiga tahun menamatkan pengajian.
“Pada masa sama, platform ini menunjukkan keupayaan mereka dalam menguruskan acara yang bertaraf antarabangsa,” katanya lagi.
Sharizam turut memberitahu bahawa acara FACA FEST 2024 seterusnya, pelajarnya telah meletakkan sasaran tinggi iaitu dengan menjemput penyanyi terkenal, Judika.
“Semuanya dalam perancangan, kita saksikan tahun hadapan,” tambahnya lagi.

Turut memeriahkan konsert itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Idris Buang dan Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi. – TVS