KUCHING, 26 Jan: Cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan penerbangan melibatkan laluan Sabah dan Sarawak ke Brunei diperbanyakkan disambut baik para pemain industri pelancongan di negeri ini.
Tinjauan TVS hari ini mendapati, rata-rata golongan tersebut berpendapat bahawa penambahan frekuensi itu akan membawa lebih ramai pelancong luar datang ke Sarawak sekali gus dapat membantu mereka untuk memasarkan jualan mereka dengan lebih meluas selain memulihkan kembali pendapatan industri.
Peniaga kraf tangan, Juliana Ambrose dan Nurul Aida Zulaiqka Sibi menzahirkan persetujuan terhadap inisiatif penambahan penerbangan tersebut ekoran ia akan menggalakkan kemasukan lebih ramai pelancong di sini.
Baca artikel berkaitan:
- 1. Sarawak kukuhkan kerjasama pelbagai bidang dengan Brunei
- 2. Sektor pertanian, produk halal, minyak dan gas Sarawak dengan Brunei ditingkatkan
- 3. Premier Sarawak antara ahli rombongan Perdana Menteri ke Brunei
- 4. Sarawak beri sumbangan penting kejayaan hubungan Malaysia dengan Brunei – Abang Johari
- 5. Malaysia dan Brunei kukuhkan kerjasama, kekalkan hubungan istimewa – Anwar
- 6. Brunei mahu projek dirancang dengan Malaysia dipercepatkan, kata Anwar
- 7. Anwar cadang lebih banyak penerbangan Sabah dan Sarawak dengan Brunei
- 8. Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei dibuka tahun ini – Abang Johari
“Saya menggalakkan lebih ramai pelancong datang ke negeri kita bagi mengukuhkan ekonomi negara terutamanya bagi peniaga kraf tangan seperti saya ini. Hal ini kerana setiap pelancong pastinya akan membeli hasil kraf tangan sebagai cenderahati untuk keluarga dan kawan-kawan di tempat asal mereka,” kata Juliana.
Manakala bagi Nurul Aida penambahan penerbangan merupakan cadangan yang bernas kerana dapat membantu meningkatkan pendapatan para usahawan tempatan yang lain.
Selain itu, bagi peniaga kek lapis, Nursuhaila Marzuki berkata penambahan frekuensi penerbangan Brunei ke Sarawak akan merangsang ekonomi negara kita.
“Saya bersetuju dengan penambahan penerbangan Brunei ke Sarawak kerana ia pastinya akan dapat memajukan ekonomi negara sekali gus membantu rakyat Sarawak untuk menjana pendapatan mereka apabila ramai pelancong datang ke Sarawak,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan rasminya ke Brunei pada Rabu telah menyatakan beberapa perkara termasuk cadangan supaya penerbangan laluan Sarawak dan Sabah dengan Brunei diperbanyakkan bagi memacu pertumbuhan ekonomi.
Menurut beliau, ia bagi melengkapkan laluan perdagangan dan pelancongan sekali gus mewujudkan sektor dagangan baharu antara Sabah, Sarawak dan Brunei. -TVS