KUCHING, 26 Jan: Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas bot kecil yang dinaikinya dilaporkan karam di kawasan perairan berhampiran Pasir Panjang – Sedungus di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Ahsmon Bajah berkata, laporan kejadian itu dibuat oleh seorang wanita pada pukul 8.52 pagi selepas melihat kejadian itu.
Kata beliau, berdasarkan laporan pengadu, dia mendakwa melihat seorang lelaki berbaju hitam menaiki bot kecil melalui kawasan itu sebelum hilang dari pandangannya.
“Pengadu mengesyaki bot itu karam.
“Susulan laporan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Sementara itu operasi SAR turut melibatkan pemantauan udara dengan menggunakan dron sekitar pukul 3.40 petang tadi di Pangkalan Jabatan Perikanan, Santubong.
Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM juga dikerahkan pada pukul 3.55 petang bagi membuat pemantauan menggunakan pesawat di udara.
Dalam pada itu, Ahsmon memaklumkan, operasi SAR hari ini ditamatkan lebih awal berikutan cuaca buruk dan akan disambung pukul 8 pagi esok.
Antara agensi keselamatan yang terlibat ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perikanan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Sarawak Coastguard (SCG). -TVS