KUCHING, 26 Jan: Usaha kerajaan Sarawak memperkasakan graduan untuk memulakan kerjaya masing-masing diteruskan menerusi TEGAS Tech Immersion Programme (TTIP).
Program ini dilaksanakan oleh Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) melalui TEGAS Digital Village dan Digital Innovation Hub berkolaboratif dengan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB).
Menurut Pengerusinya Datuk Len Talif Salleh berkata program berkenaan berusaha memperkasakan graduan yang menganggur dan mereka yang baharu untuk memulakan kerjaya mereka dalam inovasi ekosistem dan keusahawanan digital selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030).
“Program ini ditubuhkan untuk menawarkan anak tempatan yang berbakat dalam teknologi dengan pengalaman lebih luas serta pengetahuan lebih mendalam,” katanya.
Timbalan Menteri Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar itu berkata demikian menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Len turut memberitahu program terbabit juga sekali gus membantu dalam meluaskan pemikiran anak muda menerusi projek berdasarkan alam pekerjaan yang sebenar serta bimbingan dan latihan yang mencukupi melalui menyediakan pengalaman kemahiran teknologi yang menghubungkan lebih ramai bakat teknologi dengan mudah bersama peluang pekerjaan yang baharu.
Menurut beliau para peserta akan disediakan elaun RM1,500 serta akses ke TEGAS Digital Village di Kuching, Bintulu dan Miri.
TTIP akan berlangsung dari Mac hingga September serta turut bekerjasama rakan ekosistem TEGAS dan alumni program (startups), iaitu PETRONAS Digital, Moredoor, Planet ERM, FutureLab, Kloena Digital, Pemetaan UAS, Borneo Digital, Timogah, Satok Bridge Digital dan banyak lagi.
Program ini terbuka kepada bumiputera Sarawak yang menganggur dan graduan baharu dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 2.50 dan ke atas.
Syarat turut dikenakan kepada peserta yang harus komited sepanjang enam bulan dan mempunyai minat mengenai inovasi digital dan keusahawanan.
Permohonan dibuka hanya tertakluk kepada 20 peserta yang terpilih dan mereka yang layak dipelawa untuk memohon program ini menerusi – bit.ly/TTIP-23C1. – TVS