JAKARTA, 26 Jan: Indonesia akan mengambil langkah sewajarnya bagi berdepan kemungkinan berlaku kebakaran hutan tahun ini yang boleh menyebabkan jerebu dan menjejaskan negara – negara jiran.
Ketua Agensi Pencegahan Bencana Kebangsaan Indonesia (BNPB), Leftenan Jeneral Suharyanto berkata, satu mesyuarat telah diadakan bagi memastikan kesiapsiagaan pihaknya.
Kata beliau, BNPB memfokuskan enam wilayah yang sering dikesan berlaku titik panas akibat kebakaran hutan dan tanah iaitu Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah, Kalimantan Timur, Jambi, Sumatera Selatan dan Riau yang berdekatan dengan Malaysia dan Singapura.
“Beberapa langkah akan diambil bermula dengan operasi darat, udara dan seterusnya menggunakan teknologi.
“Selain pemadaman segera kebakaran, kita juga akan menggunakan helikopter untuk rondaan dan mampu melakukan pengeboman air,” katanya pada sidang media.
Pada 1997, Malaysia mengisytiharkan darurat jerebu di Sarawak apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 650 iaitu paras berbahaya paling tinggi pernah dicatatkan ketika itu.
Pada 2013, Malaysia sekali lagi terjejas apabila kerajaan mengisytiharkan darurat bencana jerebu di Muar dan Ledang, Johor.
Situasi jerebu berpanjangan kembali melanda pada 2015 dan kali terakhir pada 2019 yang juga berpunca kebakaran hutan dan ladang di Indonesia.
Sementara itu, Suharyanto memberitahu, pihaknya juga akan menggunakan teknologi pengubahsuaian cuaca bagi melaksanakan pembenihan awan di kawasan kebakaran. -TVS