MIRI, 25 Jan: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib dan keluarga meluangkan masa meneruskan kunjungan ke Miri sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Beliau bersama rombongannya tiba di lapangan terbang Miri sekitar jam 2 petang semalam, memulakan kenjungan ke rumah Pengasas Syarikat Samling, Tan Sri Datuk Yaw Teck Seng di kediamannya di Marina Lagoon Residence, Marina Bay Miri.
Sejurus selepas itu, kunjungan diteruskan ke rumah Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin di Jalan Woodhouse di Tanjung Lobang sekitar jam 4.30 petang.
Toh Puan Raghad juga sempat meluangkan masa bersama penerima sumbangan Majlis Jalinan Kasih sekitar jam 5 petang di Hotel Marriot.
Tun Taib bersama rombongannya seterusnya meluangkan masa makan malam bersama Pengasas Syarikat Shin Yang, Tan Sri Ling Chiong Ho, di kediamannya di Luak Bay.
Hadir sama ialah Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Masyarakat Sarawak, Datuk Rosey Yunus dan Residen Miri, Abdul Aziz Yusuf.-TVS