LIMBANG, 25 Jan: Seramai 226 penghuni di Rumah Panjang Bujang Rantau Kiran dekat sini tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka ranap dalam kebakaran awal pagi tadi.
Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang, Ramlan Marajan berkata, kejadian yang berlaku pada jam 6 pagi itu, memusnahkan 80 peratus rumah panjang berkenaan yang mempunyai 39 pintu.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kes itu pada jam 6.48 pagi dengan menggerakkan anggotanya ke lokasi kejadian yang jauhnya 54 kilometer dari balai membabitkan sepasukan anggota dan dua buah kenderaan bomba.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian api telah memusnahkan 80 peratus rumah panjang tersebut yang mempunyai 39 pintu.
“Tindakan pasukan bomba bagi mengawal dan memadam kebakaran adalah menggunakan air daripada tangki jentera bomba serta menggunakan air daripada tangki domestik rumah panjang tersebut bagi memadam kebakaran,” katanya dalam kenyataan kepada TVS hari ini.
Beliau berkata, tiada kecederaan dan kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian itu, pihaknya masih mengenal pasti jumlah kerugian yang dialami akibat kebakaran itu.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan, operasi memadam kebakaran ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.43 tengah hari,” ujarnya. –TVS