BUTTERWORTH, 25 Jan: Gara-gara mahu melarikan diri dari sekatan jalan raya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), seorang penunggang motosikal sanggup meninggalkan tunangnya yang terjatuh ketika ditahan di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang di sini.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam itu, gadis berusia 20-an itu dipercayai tidak mengalami kecederaan.
Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md. Isa berkata, insiden itu merupakan antara senario yang berlaku apabila beberapa penunggang motosikal cuba melarikan diri pada Ops Motosikal Tahun Baharu Cina 2023 yang dijalankan selama empat hari.
Ujar beliau, penunggang lelaki berkenaan bagaimanapun gagal dikesan selepas dia memecut motosikalnya ke arah Jambatan Pulau Pinang menuju bahagian pulau.
“Penunggang itu mungkin tiada lesen memandu atau tiada cukai jalan kerana dia tidak menoleh dan menghentikan motosikal walaupun tunangnya terjatuh.
“Gadis tersebut dipercayai tidak cedera kerana dia kemudiannya hilang melarikan diri ke arah motosikal tunangnya dan kita tidak menahannya kerana dia bukan penunggang,” katanya kepada pemberita semasa meninjau operasi tersebut malam ini.
Pada operasi berkenaan, sebanyak 2,043 buah motosikal diperiksa, manakala 301 saman dikeluarkan selain lebih 24 buah motosikal disita atas pelbagai kesalahan.
Tambah Adenan, pihaknya mendapati majoriti penunggang yang dikenakan tindakan oleh pihaknya adalah berkaitan kesalahan tiada lesen memandu dan tiada cukai jalan selain pengubahsuaian motosikal.
“Kita dapati bahawa setiap kali operasi, kesalahan tiada lesen memandu sangat tinggi dan hampir 100 kes (pada operasi kali ini) merupakan kesalahan itu.
“Ini menunjukkan kesedaran penunggang motosikal tentang keperluan lesen memandu masih di tahap rendah,” katanya lagi.
Operasi berkenaan turut disertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). – TVS