Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa. Foto: Bernama

KKM ambil langkah advokasi, bimbang penjualan Tiger Pod semakin berleluasa

ByBernama

KUALA LUMPUR, 25 Jan: Kementerian Kesihatan (KKM) terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, universiti awam dan swasta serta badan bukan kerajaan dalam aktiviti advokasi dan pencegahan bagi memastikan pendidikan berkaitan bahaya merokok disebarkan secara meluas kepada masyarakat.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, ini kerana KKM mengambil berat dan kesal berhubung isu penjualan produk rokok elektronik atau vape di hadapan sebuah sekolah yang tular baru-baru ini.

Beliau berkata, KKM juga mendapat maklumat, aktiviti mempromosi, pengiklanan dan penjualan rokok elektronik atau vape yang menyerupai permainan kanak-kanak atau ‘Tiger Pod’ yang kini semakin berleluasa.

“Perkara itu sangat membimbangkan kerana produk itu direka sehingga menarik perhatian kanak-kanak dan remaja untuk menggunakannya, malah produk vape tersebut menggunakan cecair bernikotin yang penjualannya dikawal di bawah Akta Racun 1952.

“Pengedaran dan pembekalan sebarang persediaan mengandungi nikotin memerlukan pendaftaran dan kelulusan sebagai ubat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah di bawah peruntukan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Akta Jualan Dadah 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menyedari bahawa Akta Racun 1952 tidak mempunyai peruntukan terhadap larangan aktiviti promosi dan pengiklanan cecair rokok elektronik atau vape, beliau berkata, peruntukan tersebut telah dimasukkan di bawah Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang bertujuan mengawal selia penghasilan produk tersebut.

“Ia telah pun dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada sidang Parlimen Ogos 2022 dan pelaksanaan terhadapnya masih tertangguh hingga kini,” katanya.

Selain itu, Dr Zaliha berkata, penyelesaian terhadap penjualan produk yang membahayakan kesihatan generasi muda seperti ‘Tiger Pod’, memerlukan kerjasama pelbagai pihak seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pihak berkuasa tempatan dan agensi penguatkuasaan yang lain.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa pengusaha-pengusaha vape haruslah mengambil sikap kebertanggungjawaban yang tinggi dalam menghasilkan produk mereka. Ibu-bapa juga diminta terus memantau aktiviti anak-anak supaya tidak terjebak dalam amalan yang boleh merosakkan kesihatan mereka,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan