Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kerajaan diminta mengadakan perbincangan dengan pemain industri bagi mencari kaedah mengurangkan harga pakej umrah yang kini semakin meningkat sehingga membebankan bakal jemaah umrah. Foto: Envato

Kerajaan diminta bantu tangani kenaikan harga pakej umrah

ByBernama

KUALA LUMPUR, 25 Jan: Kerajaan diminta mengadakan perbincangan dengan pemain industri bagi mencari kaedah mengurangkan harga pakej umrah yang kini semakin meningkat sehingga membebankan bakal jemaah umrah.

Pengerusi Eksekutif Omrah Travel Sdn Bhd, Datuk Ahmad Tajuddin Idris Al-Manhaji berkata, perbincangan itu juga bagi mengenal pasti secara lebih terperinci faktor menyebabkan kenaikan harga pakej dan bagaimana untuk mengurangkan harga yang ditawarkan.

“Kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mungkin boleh mainkan peranan menerusi perjumpaan dengan persatuan agensi pelancongan untuk bincang sejauh mana kadar peningkatan dan apa kerajaan boleh bantu supaya rakyat tidak sepenuhnya menyalahkan agensi pelancongan.

“Saya rasa kerajaan mungkin boleh berikan subsidi bagi mereka yang menggunakan hotel milik kerajaan di sana supaya bebanan tekanan kenaikan harga itu dapat dikurangkan,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia bertajuk ‘Kenaikan Kos Haji Dan Umrah 1444h’ terbitan Bernama TV hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Tajuddin berkata, terdapat tiga faktor mempengaruhi kenaikan harga pakej umrah iaitu kadar tukaran mata wang negara lebih rendah berbanding riyal, permintaan tinggi dan usaha memulihkan kembali perniagaan oleh pemain industri.

“Betul memang berlaku kenaikan harga mengerjakan umrah setelah dua tahun umat Islam seluruh dunia tidak dapat keluar hingga menyebabkan permintaan lebih tinggi daripada penawaran dengan kekurangan penerbangan dan mungkin hotel tidak cukup memandangkan banyak hotel di sana sedang dibaik pulih.

“Selain itu, mungkin ada pemain industri yang mengambil peluang menaikkan harga untuk memulihkan kembali kunci kira-kira perniagaan mereka selepas dua tahun beku disebabkan COVID-19,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, perubahan harga pakej di saat akhir yang turut membebankan bakal jemaah umrah mungkin berlaku disebabkan tiada hitam putih dalam perjanjian antara agensi pelancongan tempatan dan penyedia perkhidmatan di Tanah Suci.

“Sekiranya ada hitam putih (dalam) perjanjian, sebarang isu berkaitan kenaikan secara tiba-tiba boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa (di Malaysia)…dan saya rasa pihak hotel di sana juga tidak berani langgar undang-undang dengan menaikkan harga hotel sewenang-wenangnya,” katanya.

Sementara itu, wakil syarikat Enabat Al-Manasek Arab Saudi di Malaysia, Ustaz Ahmad Fazrin Yahaya yang turut menjadi tetamu dalam program tersebut berkata, isu kenaikan harga pakej ibadah umrah bukan hanya di Malaysia, tetapi merupakan krisis di seluruh dunia yang terlibat dalam industri berkenaan.

“Pada asasnya ia berlaku hampir di seluruh negara Islam atau negara terlibat dalam industri haji dan umrah contohnya Singapura, Indonesia serta Thailand yang turut mengakui perkara sama…pemain industri berkejar-kejar untuk dapatkan tempahan hotel yang dikatakan sangat ‘keras’ (tempahan tinggi) selepas musim haji tahun lepas,” katanya.

Syarikat Enabat Al-Manasek Arab Saudi dipertanggungjawab bagi menguruskan program badal haji dan umrah. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan