Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar (dua kanan) bersama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) melakukan Operasi Bersepadu Akta 446 di kawasan perindustrian Aman Perdana, Meru hari ini. Foto Bernama.

Jangan buat penginapan pekerja asing macam kandang lembu – Sivakumar

ByBernama

KLANG, 25 Jan: Menteri Sumber Manusia V.Sivakumar memberi amaran kepada semua majikan agar memastikan tempat penginapan pekerja warga asing sentiasa dalam keadaan selesa dan bukan seperti kandang lembu atau kerbau.

Beliau berkata keadaan penginapan pekerja asing yang tidak mematuhi syarat ditetapkan akan membahayakan pekerja terutama apabila berlaku pandemik atau bencana yang tidak diingini.

“Kita perlu layan mereka seperti manusia, sebab kita diperhatikan. Bukan sahaja rakyat (negara ini) malah peringkat antarabangsa.

“Jangan buat macam kandang lembu atau kandang kerbau, ia sangat membahayakan pekerja-pekerja asing dan akan menjadi isu besar jika berlaku musibah,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Khas Penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di tiga buah kilang berasaskan produk kayu dan getah di Jalan Kapar, di sini hari ini.

Turut serta dalam operasi itu Timbalan Menteri Mustapha Sakmud dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Sumber Manusia A. Maniam.

Sivakumar berkata antara kegagalan pematuhan syarat yang dikesan ialah majikan didapati tidak menyediakan tilam, ruang memasak buruk dan bilik sempit.

Katanya pemilik ketiga-tiga kilang itu akan didakwa sejurus kertas siasatan lengkap.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati majikan-majikan berkenaan melakukan beberapa kesalahan mengikut akta yang dikuatkuasakan oleh JTKSM (Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia) antaranya Seksyen 24D Akta 446 dan juga kesalahan mengikut Peraturan 3 dan 4 akta sama.

“Majikan juga didapati melakukan kesalahan di bawah akta yang dikuatkuasakan oleh JKKP (Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) serta majikan juga didapati tidak mencarum di bawah PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial),” katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga kilang itu beroperasi dengan tenaga kerja asing seramai 526 orang dari Nepal, Bangladesh dan Myanmar.

Ketika ditanya mengenai pindaan terhadap akta atau undang-undang sedia ada, Sivakumar berkata undang-undang tersebut telah memadai untuk memastikan majikan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kita akan membuat pemantauan lebih kerap selepas ini untuk pastikan pekerja asing yang masuk dapat penempatan yang baik serta diberi perhatian sewajarnya oleh pihak majikan,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan