Miri, 25 Jan: Rakyat Sarawak diseru agar beralih daripada kaedah pertanian konvensional kepada pertanian pintar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kaedah tersebut diyakini mampu meningkatkan hasil pengeluaran tanaman sekali gus menambah pendapatan petani.
Katanya, rakyat tempatan khususnya di Miri perlu mengambil peluang tersebut dan melebarkan sayap eksport ke negara jiran, Brunei.
“Kita akan mempunyai Pejabat Perdagangan dan Pelancongan di Brunei. Jadi saya menyeru penduduk tempatan untuk melibatkan diri dalam pertanian pintar kerana Brunei kini giat menjadi pengeluar produk halal.
“Produk pertanian ini nanti akan dieksport ke Timur Tengah. Hal ini demikian kerana negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) mahu mengimport nanas. Oleh itu kita boleh mengembangkan lagi sektor perdagangan kita ke pasaran dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2023 anjuran Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) di sini malam ini.
Yang turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.
Tambah Abang Johari, individu yang mahir dalam bidang pertanian disaran agar tampil untuk mengambil peluang tersebut dan bijak menghasilkan idea baharu untuk membangunkan Sarawak.
“Ini akan menjadikan Sarawak negeri berpendapatan tinggi di Malaysia,” tambahnya. -TVS