NEW YORK, 25 Jan: Jumlah wartawan yang terbunuh tahun lepas adalah 50 peratus lebih tinggi daripada 2021, kebanyakannya berlaku di Haiti, Ukraine dan Mexico, menurut laporan baharu pada Selasa.
Tahun lepas mencatat bilangan kematian wartawan tertinggi sejak 2018 apabila 67 atau lebih pekerja media terbunuh, kata Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) dalam laporan tahunannya.
Sekurang-kurangnya 41 daripada mereka menjadi sasaran kerana tugas mereka manakala motif pembunuhan ke atas 26 wartawan lain masih disiasat, menurut kumpulan advokasi kebebasan akhbar itu.
Di Ukraine, 15 anggota media terbunuh, 13 di Mexico dan tujuh di Haiti. Ia merupakan bilangan kematian tertinggi wartawan yang pernah direkodkan CPJ bagi setiap negara, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Di Haiti, ada yang maut di tangan geng jalanan yang ganas di ibu negara itu, dan sekurang-kurangnya dua ditembak polis.
“Membuat laporan di Haiti pada masa kini amat sukar bagi wartawan, khususnya di ibu negara,” kata wartawan Radio Caraibes, Mackenson Remy. “Rasuah berleluasa, tiada sesiapa yang boleh anda harapkan.”
Wartawan di Ukraine “menghadapi risiko besar, pekerja akhbar sering cedera akibat tembakan ketika membuat liputan mengenai konflik dan ada yang melaporkan bahawa mereka menjadi sasaran tentera Rusia,” menurut  CPJ.
Pembunuhan di Mexico pula disasarkan dan didorong oleh ganjaran seperti pembunuhan ke atas jurugambar jenayah Tijuana Margarito Martinez pada 17 Jan 2022, diikuti lima hari kemudian Lourdes Maldonado Lopez.
Mereka yang mengarahkan pembunuhan tidak pernah ditangkap yang memberi mesej bahawa “sesiapa sahaja boleh membunuh anda dengan harga AS$1,000,” kata CPJ.
Angka kematian ini turut melibatkan wartawan penyiasat Las Vegas Review-Journal Jeff German, yang mati ditikam di luar rumahnya pada 2 Sept, dengan bekas pentadbir awam daerah Robert Telles ditahan dan didakwa membunuh. Telles yang disiasat oleh Jeff mengaku tidak bersalah dan akan dibicarakan pada 17 April.
Selain itu, wartawan Palestin Amerika Shireen Abu Akleh ditembak mati oleh askar Israel semasa membuat liputan serbuan tentera Israel di Jenin, sebuah bandar di Tebing Barat untuk Al Jazeera. Pihak berkuasa Israel belum menyiasat namun FBI mengumumkan akan melakukannya.
CPJ turut melaporkan insiden bom yang meledak di luar rumah wartawan Victor Mambor di Jayapura, di wilayah Papua Indonesia. Beliau bagaimanapun terselamat. -TVS