Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Foto: Bernama

Tindakan bakar Al-Quran di Sweden: Malaysia gesa masyarakat antarabangsa perangi Islamofobia – Zambry

ByBernama

KUALA LUMPUR, 23 Jan: Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk bekerjasama memerangi sentimen Islamofobia dan menggalakkan hubungan harmoni serta kewujudan bersama secara aman dalam kalangan individu yang berbeza agama dalam komuniti global yang pelbagai.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan komuniti antarabangsa bagi mencegah dan menghapuskan segala bentuk keganasan serta kebencian terhadap Islam termasuk sentimen Islamofobia dan ekstremisme.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar (Wisma Putra) berikutan tindakan islamofobik ahli politik Sweden-Denmark yang ekstrim Rasmus Paludan yang bertindak membakar senaskah al-Quran di Stockholm, Sweden pada Sabtu (21 Januari) dan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan itu.

“Tindakan keji ini jelas merupakan serangan secara terang-terangan terhadap Islam dan umat Islam di seluruh dunia yang telah melampaui batas moral dan norma hak kebebasan bersuara.

“Ketaksuban, perkauman dan penodaan keji terhadap kitab suci itu, tanpa mengira agama, adalah tidak boleh diterima dan wajar dikutuk. Malaysia mengulangi bahawa kebebasan bersuara tidak boleh disamakan dengan kebebasan menghina. Ia bertentangan dengan prinsip sejagat dalam menghormati agama,” katanya.

Malaysia menggesa kerajaan Sweden untuk mengambil tindakan segera terhadap pelaku perbuatan terkutuk ini dan mengambil langkah yang serius untuk memerangi sentimen Islamofobia yang semakin membimbangkan di negara itu.

“Tindakan kerajaan Sweden untuk tidak mengambil sebarang tindakan bagi menghentikan aktiviti yang melampau ini, walaupun terdapat beberapa bantahan daripada pelbagai pihak, tidak boleh diterima sama sekali dan boleh memberi kesan yang serius terhadap hubungan antara Sweden dan umat Islam di seluruh dunia,” katanya.

Rasmus Paludan, ketua parti sayap kanan Denmark Stram Kurs mendapat kebenaran untuk membakar al-Quran pada Sabtu di luar Kedutaan Turki di Stockholm yang mencetuskan kemarahan dunia Islam.  -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan