MIRI, 23 Jan: Sarawak dijangka mencatatkan peningkatan jumlah kemasukan pelawat susulan pertambahan penerbangan dan pembukaan sempadan Brunei dan Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata terdapat 71 penerbangan ke Sarawak sempena perayaan Tahun Baru Cina sehingga hujung Januari ini.
Menurutnya, penambahan penerbangan termasuk dari Kuala Lumpur, Johor, Kota Kinabalu, Brunei ke Miri.
“Ini juga menunjukkan bahawa ekonomi kita akan pulih pada tahun ini. Nampaknya aktiviti ekonomi juga bertambah aktif,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Dewan Dato Permaisuri di sini, hari ini.
Katanya lagi, syarikat penerbangan baharu, MYAirlines juga akan menambah penerbangan ke Kuching, Sibu dan Miri.
Pada masa sama, beliau memberitahu bilangan pelawat dari Brunei yang masuk melalui Sungai Tujuh menunjukkan pertambahan dengan purata 2,000 kereta sehari pada hari biasa, manakala 3,000 kereta pada hujung minggu. – TVS