KUCHING, 22 Jan: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud meluangkan masa menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Penasihat Undang-Undang Negeri Sarawak, Dato Sri Fong Joo Chung di sini hari ini.
Kehadiran Abdul Taib bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib disambut meriah dengan tarian naga yang sinonim dengan perayaan berkenaan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang kira – kira pukul 12.45 tengah hari tadi.
Tinjauan TVS mendapati, majlis berkenaan tidak hanya dikunjungi oleh masyarakat Tionghua malahan turut diserikan dengan kunjungan daripada kaum-kaum lain serta pelancong asing.
Kehadiran para pengunjung berbilang kaum ini sekali gus melambangkan semangat perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat di Sarawak.
Abang Johari dan isteri kemudian turut menyertai upacara menggaul Yee Sang sebelum menjamu selera.
Antara tetamu kenamaan lain yang turut hadir termasuklah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Datin Seri Fauziah Mohd Sanusi, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar serta isteri, Puan Sri Datin Amar Fatimah Iskandar. -TVS