KUCHING, 22 Jan: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang mengunjungi mantan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Patinggi Dr. George Chan sempena Tahun Baharu Cina hari ini.
Abang Johari yang tiba pada pukul 3:26 petang disambut George serta isteri, Datin Patinggi Puan Sri Datuk Wira Lorna Enan Muloon Chan di kediaman mereka di Jalan Siol Kanan Off Jalan Sultan Tengah Petra Jaya.
Kehadiran mereka diserikan lagi dengan persembahan tarian oleh kumpulan penari dari Kampung Budaya Sarawak dan diteruskan dengan sesi menggaul Yee Sang sebelum menjamu selera.
Abang Johari serta isteri meninggalkan perkarangan George Chan yang merupakan kunjungan terakhir mereka hari ini sekitar pukul 5 petang.
Turut hadir ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi. – TVS