Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil (dua, kiri) menyantuni para tetamu ketika hadir pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA, Jalan Ampang hari ini.Foto Bernama.

MCMC sekat 1.8 bilion panggilan ‘scam’ sejak 2017 hingga 2022 – Fahmi

ByBernama

KUALA LUMPUR, 22 Jan: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menyekat 1.8 bilion panggilan scam dari 2017 hingga 2022, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata perkara itu diketahui hasil pertemuannya dengan pihak Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) bersama MCMC dan beberapa pihak lain.

Beliau berkata sejak 2018 pula sebanyak 300 juta scam menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) berjaya dikekang namun kes penipuan itu masih berlaku.

“Peringatan saya kepada rakyat Malaysia, tolong berhati-hati dalam suasana perayaan ini (kerana) sudah pasti akan ada yang menangguk di air keruh untuk mengambil kesempatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA di sini hari ini.

Justeru, beliau menasihatkan masyarakat yang menjadi mangsa penipuan supaya menghubungi talian 997 yang merupakan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) untuk membuat laporan supaya tindakan segera dapat diambil bagi mengekang kehilangan wang.

Fahmi berkata terdapat pelbagai jenis penipuan ketika ini dan ia bukan mudah untuk ditangani kerana apabila sesuatu modus operandi dapat dikesan, akan muncul jenis penipuan baharu.

“Jadi sempena musim perayaan ini, kita lihat ‘scam’ seperti ‘scam pencuci’ atau ‘cleaner scam’ yang banyak dibuat melalui Facebook sebagai contoh, kita kena berhati-hati.

“Jadi sekiranya anda mendapat apa-apa tawaran sama ada kerja ataupun perkhidmatan, tolong buat pengesahan sebelum kita terpedaya oleh ‘scammer-scammer’ ini. Jika ia nampak terlalu bagus, kemungkinan satu penipuan dan buat laporan polis serta call 997 supaya kita boleh bantu,” katanya.

Berkenaan penipuan menerusi aplikasi Telegram, Fahmi berkata antara masalah yang dihadapi dengan aplikasi itu ialah ia merupakan encrypted system.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan cuba menghubungi pihak Telegram supaya beberapa perkara dapat diatur bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Lebih daripada itu, peringatan kepada semua, sekiranya anda mendapat mesej daripada orang yang seperti kawan kita tetapi cara dia bercakap dengan kita itu lain daripada biasa, sila berhati-hati dan kalau dapat panggilan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bukit Aman (polis) atau mahkamah, dia tidak berurusan melalui telefon tetapi hantar surat minta kita datang ke pejabat.

“Jadi kita kena ada satu peningkatan kesedaran tentang cara-cara ‘scammer’ ini beroperasi dan masa yang sama kita lihat satu tindakan bersepadu antara KKD (Kementerian Komunikasi dan Digital), Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar adalah perlu kerana kita dapati ada sejumlah panggilan ‘scam’ ini tak berlaku dalam negara kita tetapi merentasi sempadan,” katanya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan