Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengadakan lawatan kerja di Gedong hari ini

Sarawak usaha ganda pengeluaran biris, berhasrat jadi pengeluar beras terbesar negara

ByOdleen Catherny

GEDONG, 21 Jan: Universiti Pertanian Malaysia (UPM) telah diarahkan untuk berusaha menggandakan pengeluaran padi biris iaitu mencapai sekitar tiga kali hasil tuai dalam tempoh masa 18 bulan, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau selain menambah hasil beras, inisiatif kerajaan Sarawak juga menjurus kepada usaha menambah nilai dari segi hilirannya tanaman tradisional berkenaan.

“UPM setakat ini telah menerima kerjasama yang baik dari para petani dan ini menunjukkan perkembangan positif dari segi perubahan sikap mereka dalam menggunakan teknologi baharu untuk pengeluaran beras biris di Kampung Lubok Punggor ,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Gedong di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abang Johari turut memaklumkan kawasan DUN itu yang terkenal sebagai kawasan pertanian akan dibekalkan dengan sistem perparitan dan tali air di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak.

Beliau bagaimanapun menegaskan, kerajaan Sarawak masih menghormati cara lama membabitkan kepercayaan kepada semangat padi namun para petani dinasihatkan tidak hanya bergantung semata-mata kepada cara lama.

“Sekarang sudah ada teknologi, kita ubah sedikit dengan teknologi yang ada dan apa yang penting adalah untuk meningkatkan hasil secara automatik dan secara berkadar menjadikan mereka (petani) akan dapat meningkatkan pendapatan mereka,” jelasnya lagi.

Pada ketika ini beliau memberitahu, pendapatan mereka adalah sekitar RM1,500 hingga RM2,000 sebulan oleh sebab itu beliau percaya angka berkenaan boleh ditingkatkan lagi.

“Sekiranya mereka mampu menghasilkan tiga kali ganda, bayangkan RM2,000 darab tiga, secara teorinya pendapatan mereka akan mencecah hingga RM6,000″.

Tetapi apa yang akan saya lakukan sekarang adalah mendapatkan pakar untuk melaksanakan kajian lapangan bagi mendapatkan data dan hasil yang sebenar,” jelasnya lagi.

Beliau mendedahkan pembangunan logistik projek beras biris serta seluruh kawasan itu akan dibangunkan menerusi peruntukan kerajaan Sarawak yang disalurkan kepada Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) bagi membangunkan kawasan DID.

Abang Johari percaya pembangunan infrastruktur yang dilaksanakan di Gedong akan sekali gus menaik taraf kawasan pertanian di sini seterusnya akan menerapkan konsep pertanian pintar di negeri ini berbekalkan hasrat beliau menjadikan Sarawak sebagai pengeluar beras terbesar di Malaysia selepas Kedah.

“Kita fokus kepada padi kerana kita mahu meningkatkan pertanian itu sebagai tanaman keselamatan. Saya nampak di seluruh Malaysia selain daripada Kedah, kebanyakan tempat lain kurang menghasilkannya”.

Jadi, kita boleh menjadi pengeluar beras yang agak besar di Malaysia tetapi kita hendaklah menggunakan teknologi baharu dan bukan yang lama,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan