KOTA SAMARAHAN, 21 Jan: Pembangunan rancak yang telah berlaku di negeri ini sejak tiga tahun kebelakangan ini dikagumi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara itu kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas diluahkan Anwar ketika mengadakan lawatan sulungnya sebagai Perdana Menteri di sini pada 19 hingga 20 Januari lalu.
Menurut Uggah, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sendiri telah menyampaikan taklimat mengenai beberapa projek pembangunan yang sedang dijalankan di Sarawak kepada Anwar termasuk projek Jaringan Jalan Pesisir Pantai dan Lebuhraya Pan Borneo yang telah mencapai kemajuan melebihi 70 peratus.
Selain itu, Uggah mendedahkan Perdana Menteri ke-10 itu turut menyatakan kekaguman beliau terhadap pembangunan ekonomi digital yang pesat berlangsung di Sarawak.
“Perdana Menteri sendiri turut mengakui bahawa Sarawak mempunyai program ekonomi digital yang terbaik berbanding negeri lain di seluruh Malaysia”.
“Pembangunan program ekonomi digital ini turut dibantu oleh UNIMAS yang telah membangunkan aplikasi digital untuk kegunaan komuniti setempat,” katanya.
Uggah berkata demikian ketika berucap di Majlis Lunar New Year’s Eve Celebration di Dewan Zamrud dan Dewan Mutiara, Detar Putra, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), pada Jumaat.
Hadir sama Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr. Wan Hashim Wan Ibrahim, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar Profesor Madya Dr. Faisal Ali Anwarali Khan dan Pengarah Pusat Khidmat Pelajar Azeemah Ahmad.
Selain pembangunan prasarana dan ekonomi digital, Uggah memberitahu Anwar turut diberi taklimat mengenai pembangunan sumber tenaga hijau dan solar yang dibangunkan di negeri ini.
“Premier Sarawak menyambut kedatangan Perdana Menteri menggunakan kereta yang menggunakan kuasa hidrogen dan ini menjadikan Perdana Menteri kagum dengan perkembangan penggunaan kuasa hidrogen yang dibangunkan oleh kerajaan negeri,” ujarnya. -TVS.