KUCHING, 21 Jan: Hasrat Sarawak mewujudkan jurusan pendidikan seperti teknologi hidrogen dan tenaga boleh baharu diyakini tercapai berdasarkan tindakan Sarawak menuntut kuasa autonomi pendidikan.
Menganggap Sarawak berada pada landasan tepat, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar optimis inisiatif berkenaan seiring dengan hala tuju Sarawak untuk bergelar negeri maju menjelang 2030.
“Ini berdasarkan kehendak semasa di negeri ini seperti teknologi digital, tenaga hijau, hidrogen dan yang berkaitan”.
“Jurusan seperti ini perlu diwujudkan, kerana jika jurusan itu tidak diwujudkan, ia mungkin belum mampu memenuhi kehendak semasa dan membangunkan negeri Sarawak,” katanya pada program bual bicara Dialog TVS – Lawatan PM: Selesai Perkara Tertunggak MA63, di studio TVS pada Jumaat.
Baca artikel berkaitan > > > Senaraikan pelancongan sebagai kuasa autonomi negeri – Wan Junaidi
Memetik contoh, menurut Dr. Wan Junaidi negara-negara membangun seperti Jerman, Hungary, China, Jepun dan Korea telah beralih kepada kehendak industri dan relevan dengan kemahiran.
“Jadi, untuk mewujudkan kehendak ini, kita mungkin akan memerlukan tenaga pengajar yang berkemahiran dalam bidang tertentu”.
“Maksudnya, anak-anak tempatan termasuk mereka yang dari Semenanjung Malaysia perlu menguasai kehendak tersebut supaya anak-anak kita tidak perlu dihantar ke luar negara yang kita sedia maklum kos pengajiannya agak mahal”.
“Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk menyambung pelajaran dan menguasai bidang-bidang ini,” jelasnya lagi. – TVS