SARIKEI, 20 Jan: Hubungan baik antara guru dan ibu bapa amat penting dalam menjamin kemajuan pendidikan terutama yang melibatkan prestasi pelajar di sekolah.
Malah kejayaan yang diraih oleh sesebuah sekolah tidak hanya bergantung kepada guru semata-mata sebaliknya turut melibatkan penyertaan ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhan.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd. Wahab berkata kerjasama yang terjalin di antara kedua-dua pihak dapat menyelesaikan sebarang bentuk masalah.
“Hubungan erat antara pihak sekolah dengan ibu bapa perlu dikekalkan dan dipertingkatkan agar dapat merealisasikan hasrat sekolah untuk menjadi sebuah institusi yang cemerlang dan mampu melahirkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berperibadi mulia, berpengetahuan tinggi dan berdaya saing,” katanya pada Majlis Apresiasi SMK Sarikei Baru Sesi Persekolahan Tahun 2022/2023 di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengetua SMK Sarikei Baru, Saini Bakar dan Timbalan Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah Sarikei, Nur Fadzrine Yung Abdullah.
Beliau juga berkata tanggungjawab Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bukan sekadar penghubung antara sekolah dengan ibu bapa sebaliknya tunjang kekuatan bagi memastikan setiap aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar ibu bapa, guru dan komuniti setempat terus berganding bahu dalam memastikan sahsiah pelajar sentiasa pada tahap terbaik.
“Kita harus menjadikan hubungan baik warga sekolah dengan ibu bapa sebagai hubungan yang berasaskan rasa tanggungjawab bersama, saling memerlukan dan sentiasa menyokong antara satu sama lain, bak kata peribahasa seperti aur dengan tebing,” katanya. – TVS