Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto: Faitullah Murni (TVS)

Anwar umum RM1 bilion naik taraf prasarana di sempadan Sarawak, Sabah dengan Kalimantan

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 20 Jan: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM1 bilion bagi membangunkan kemudahan dan meningkatkan keselamatan di sepanjang sempadan Sarawak dan Sabah dengan Kalimantan, Indonesia.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan tersebut dibuat selepas pertemuan dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo dalam lawatan kerjanya pada 9 Januari lalu yang memaklumkan mengenai pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur.

“Kita telah putuskan untuk memberi peruntukan tambahan bagi penyediaan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS), pos kawalan polis dan tentera serta prasarana asas seperti kemudahan jalan raya.

“Kita tidak mahu dilihat terlalu daif. Kementerian Kewangan telah memberikan kelulusan awal berjumlah RM1 bilion untuk memulakan kerja ini dalam tempoh segera,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Hadir sama, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan barisan kepimpinan tertinggi dalam kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak.

Mesyuarat itu merupakan antara program sempena lawatan kerja Anwar ke Sarawak selama dua hari yang bermula semalam.

Ia merupakan lawatan kerja pertama beliau ke Sarawak sejak menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri pada November lepas. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan