Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Datuk Seri Fadillah Yusof, Datuk Seri Hajiji Noor dan Datuk Armizan Mohd Ali pada sidang media mengenai Mesyuarat Tindakan Pelaksanaan MA63 di Kuching, hari ini. Foto: Faitullah Morni (TVS).

Anwar umum pemberian khas kepada Sarawak dinaikkan RM300 juta

ByLuqman Muhammad

KUCHING, 20 Jan: Jumlah pemberian khas kepada Sarawak mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dinaikkan kepada RM300 juta setahun berbanding RM16 juta sebelum ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan jumlah berkenaan boleh berubah-ubah kerana ia ditentukan berdasarkan formula dan beberapa faktor.

“(Sebelum ini) Sarawak hanya diberi RM16 juta dan tentunya saya selaku Menteri Kewangan tidak fikir bahawa jumlah itu munasabah dan untuk memberi jumlah yang begitu tinggi juga tidak mampu.

“Dalam Perkara 112D (Perlembagaan Persekutuan) disebut satu peruntukan berdasarkan beberapa ukuran, bagaimanapun tertakluk kepada keupayaan ekonomi dan kewangan Persekutuan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pelaksanaan MA63 di Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Hadir sama, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

Anwar turut menegaskan, pemberian khas kepada Sarawak dan Sabah bukan mahu mengenepikan keperluan negeri-negeri di Semenanjung, tetapi ini adalah tuntutan yang perlu diberikan berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita mesti memahami isi MA63 dan ini bukan perjanjian yang saya buat, ini ialah perjanjian yang dilakukan oleh bapa-bapa kemerdekaan zaman dahulu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau akan mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu berhubung penggunaan istilah wilayah bagi Sarawak dan Sabah.

Menurutnya, perkara itu melibatkan Perlembagaan Persekutuan sebelum ia dapat dibawa dan dikemukakan untuk pertimbangan Kabinet.

“Walaupun nama itu belum diubah, tetapi status itu harus jelas iaitu status dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipersetujui adalah Semenanjung Tanah Melayu merupakan satu entiti, Sabah satu entiti dan Sarawak satu entiti,” katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan pengecualian cukai bagi pemberian bonus kepada semua pegawai perkhidmatan awam di semua negeri.

“Sekarang ini bonus diberikan kerajaan negeri tertakluk kepada cukai, tetapi atas permintaan Abang Johari dan saya rasa ia munasabah, bonus akan dikecualikan dari cukai dan ini terpakai untuk semua pegawai perkhidmatan awam di semua negeri,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan