Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto: Faitullah Morni

Tuntutan MA63 mesti diselesaikan segera, bersungguh-sungguh – Anwar

ByLuqman Muhammad

KUCHING, 19 Jan: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan tuntutan Sabah dan Sarawak terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai perkara utama mesti diselesaikan segera.

Beliau berpendirian bahawa perkara terkandung dalam perjanjian itu harus ditepati, begitu juga dengan tuntutan Sarawak dan Sabah terhadap hak terhakis yang wajar dikembalikan.

“Saya pegang prinsip itu. Saya rasa dengan kesempatan yang diberikan kepada saya, perlu untuk kita berubah secara bersungguh-sungguh bukan sekadar slogan politik, tetapi menunaikan amanah yang dipikul,” katanya.

Baca artikel berkaitan sini:

  1. 1. Abang Johari yakin keupayaan Anwar angkat martabat Malaysia
  2. 2. Anwar puji Sarawak teroka ekonomi hijau dan hidrogen

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Negeri bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini pada Khamis malam yang turut dihadiri, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Anwar berkata lagi, Malaysia merupakan sebuah negara Persekutuan dan semangat perpaduan tidak akan dapat diperoleh sekiranya ada perasaan rakyat yang tergores.

“Tugas pemimpin itu merawat dan bukan untuk menambah luka, sebab itu saya lihat usaha ini (menyelesaikan tuntutan MA63) sebagai menunaikan satu tanggungjawab.

“Saya terasa ketika mendengar keluhan Sarawak dan Sabah atau golongan minoriti yang merasakan mereka tidak berada dalam arus perdana pembangunan negara. Ini tidak wajar, maka harus kita rawat (situasi ini),” katanya.

Perdana Menteri hari ini memulakan lawatan kerja sulungnya ke Sarawak selama dua hari sejak dilantik ke jawatan itu pada November lepas.

Esok, Anwar dijadual menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang akan turut disertai Abang Johari dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan