Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Penolong Pengarah Kastam Sabah, Mohd Nasir Deraman menunjukkan dadah yang dirampas di Lahad Datu dan Tawau, baru-baru ini. Foto: TVS

Kastam Sabah rampas lebih 6 kilogram dadah

LAHAD DATU, 19 Jan: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan merampas 6.163 kilogram (kg) dadah bernilai RM221,000 dalam dua kes berasingan.

Ketua Penolong Pengarah Kastam Sabah, Mohd Nasir Deraman berkata, kes pertama direkodkan pada 5 Januari kira-kira jam 3.30 petang di hadapan sebuah kedai di Jalan Silabukan, Lahad Datu.

JKDM katanya cuba menahan sebuah kenderaan bagaimanapun pemandu cuba melarikan diri daripada ditahan dan telah melanggar kenderaan jabatan.

“Dalam situasi cemas dan terancam, pasukan terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan tersebut untuk mengawal keadaan bagaimanapun suspek berjaya keluar dari kepungan pasukan serbuan.

“Kejar mengejar telah berlaku sehingga kenderaan suspek masuk ke sebuah simpang kampung dan berhenti di kawasan jalan mati lalu berjaya ditahan di situ,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Lahad Datu, hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan rapi ke atas dua suspek lelaki di dalam kenderaan itu yang masing-masing seorang warga tempatan dan asing berumur 23 dan 24 tahun itu telah menemui dadah dipercayai Methamphetamine seberat 3.083 kg.

“Kedua-dua suspek telah ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Kes kedua pula katanya, direkodkan pada 12 Januari kira-kira jam 8.15 pagi selepas anggota JKDM melakukan serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah terminal kurier di Tawau.

Hasilnya menemukan dadah jenis Methamphetamine seberat 3.08 kg di dalam sebuah kotak bungkusan.

Nasir berkata, modus operandi bagi kes itu adalah menggunakan perkhidmatan kurier dengan memberikan maklumat palsu di dalam nota konsaimen membabitkan alamat tidak wujud atau syarikat tidak aktif.

Kes juga disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan