KUALA LUMPUR, 19 Jan: Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dalam mesyuaratnya hari ini.
Bank pusat dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu membolehkan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) menilai kesan pelarasan OPR secara kumulatif memandangkan kesan sela masa dasar monetari terhadap ekonomi.
Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi, katanya.
“Langkah seterusnya untuk mengembalikan tahap akomodasi dasar monetari ke tahap yang wajar akan ditentukan oleh keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
“MPC akan terus menetapkan dasar monetari yang mengimbangi risiko inflasi dalam negeri dan pertumbuhan yang mampan,” katanya.
Menurut BNM, ekonomi global terus terjejas akibat tekanan kos yang kekal tinggi, kadar faedah yang lebih tinggi serta gangguan berkaitan COVID-19 di China.
Bank pusat turut menjelaskan, inflasi keseluruhan menurun sedikit daripada paras tinggi sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Bagaimanapun, inflasi teras terus kekal melebihi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini, katanya.
“Bank-bank pusat dijangka terus menaikkan kadar faedah, meskipun pada kadar yang lebih perlahan untuk menguruskan tekanan inflasi. Tindakan ini akan menyebabkan prospek pertumbuhan global terus menghadapi rintangan,” katanya.
Bagaimanapun, BNM berkata pertumbuhan di China dijangka bertambah baik apabila gelombang semasa COVID-19 di negara itu reda.
Prospek pertumbuhan terus bergantung kepada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, termasuk ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, pertumbuhan sebenar di ekonomi utama yang lebih lemah daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara ketara, katanya.
BNM menjelaskan, bagi Malaysia, data terkini menunjukkan bahawa ekonomi terus berkembang pada suku terakhir tahun lepas disebabkan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.
Hasilnya, pertumbuhan ekonomi domestik pada 2022 dijangka melebihi julat unjuran awal iaitu 6.5 peratus hingga 7.0 peratus, katanya.
Selepas mencatatkan prestasi kukuh pada 2022, bank pusat berkata pertumbuhan pada 2023 dijangka sederhana berikutan ekonomi global yang lebih perlahan.
Pertumbuhan akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri manakala perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh prospek pekerjaan dan pendapatan yang terus bertambah baik.
BNM berkata risiko pertumbuhan ekonomi dalam negeri menjadi perlahan, berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, aktiviti penghindaran risiko yang lebih tinggi dalam pasaran kewangan global berikutan dasar monetari yang semakin ketat secara lebih agresif di ekonomi utama, konflik geopolitik yang semakin meruncing serta gangguan ketara pada rantaian bekalan yang kembali wujud.
Inflasi keseluruhan pada tempoh Januari hingga November 2022 berpurata sebanyak 3.4 peratus, katanya.
Seperti yang diunjurkan, inflasi keseluruhan mencapai tahap tertinggi pada suku ketiga 2022 manakala purata inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras adalah 2.9 peratus sehingga November tahun lepas.
“Bagi keseluruhan 2023, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka sederhana namun kekal pada tahap tinggi berikutan tekanan permintaan dan kos yang berlarutan.
“Kawalan harga dan subsidi bahan api sedia ada serta lebihan kapasiti dalam ekonomi yang masih ada akan terus membendung sebahagian daripada tahap tekanan inflasi yang meningkat,” katanya.
Menurut BNM, imbangan risiko terhadap prospek inflasi cenderung ke arah inflasi menjadi lebih tinggi dan kekal bergantung kepada sebarang perubahan dasar dalam negeri berhubung subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi global. -TVS