KUCHING, 19 Jan: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini bagi memulakan lawatan kerja sulungnya ke Sarawak selama dua hari sejak dilantik ke jawatan itu pada November lepas.
Pesawat khas membawa rombongan Perdana Menteri tiba di lapangan terbang pada 4.02 petang dengan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengetuai kenamaan negeri menyambut beliau.
Hari ini, Anwar turut mengadakan perjumpaan secara tertutup dengan Abang Johari di kediaman Premier Sarawak itu di Petra Jaya sebelum menghadiri jamuan negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Esok beliau dijadual menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang turut disertai Abang Johari dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Selepas itu, Perdana Menteri akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek sebelum menghadiri Kenduri Rakyat sempena Program Jelajah Kerajaan Perpaduan di Kubah Ria.
Beliau kemudian dijadual membuat kunjungan hormat ke atas Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di kediaman Yang di-Pertua Negeri Sarawak itu di Demak Jaya sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur. – TVS