KUCHING, 18 Jan: Sarawak perlu lebih agresif dalam penggunaan teknologi bagi meningkatkan lagi produktiviti negeri ini sekali gus merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata bagi tujuan itu kerajaan Sarawak berusaha meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya penggunaan teknologi dan inovasi menerusi penganjuran Kongres Inovasi dan Teknologi Dunia (WCIT) 2030 di Kuching, pada 4 hingga 6 Oktober depan.
“Saya menyokong usaha yang dilaksanakan ini untuk membangunkan infrastruktur serta meningkatkan taraf hidup rakyat, mengembangkan ekonomi dan menyediakan peluang perniagaan”.
“Sebagai contoh aplikasi Spay yang banyak membantu rakyat kita terutamanya para peniaga dan pembeli berikutan pembayaran boleh dibuat melalui perbankan internet. Begitu juga dengan pelancaran CENTEXS – SEDC 5G Test Bed,” katanya ketika melancarkan Logo Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia (WCIT)2023, di sini, hari ini.
Sarawak dipilih menjadi tuan rumah WCIT 2023 memandangkan Malaysia sekali lagi menghimpunkan penggiat industri teknologi dan inovasi dunia pada 4 hingga 6 Oktober di Pusat Konvesyen Borneo Kuching (BCCK).
WCIT 2023 memasuki edisi ke-27 penganjurannya bakal menghimpunkan 2,500 delegasi daripada 80 buah negara di seluruh dunia.