MELAKA, 18 Jan: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka memeriksa sebanyak 28 bas ekspres di enam depoh di negeri itu dalam Op Tahun Baharu Cina (TBC) 2023 bagi memastikan kenderaan beroperasi ke destinasi masing-masing mematuhi syarat-syarat ditetapkan.
Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, pemeriksaan itu melibatkan aspek teknikal seperti penggunaan tayar mengikut piawaian, lampu penunjuk arah, sistem brek berfungsi dengan baik, pembalik cahaya selain dokumen berkaitan iaitu permit, cukai jalan dan sebagainya.
“Pemeriksaan kenderaan di depoh sebelum beroperasi bagi memastikan kebolehgunaan di jalan raya dan selamat di samping semua bas ekspres serta pemandunya tidak mempunyai saman tertunggak.
“Setakat ini tiada kompaun dikeluarkan sejak operasi bermula pada 14 Januari lepas dan kesemua kenderaan diperiksa juga mematuhi piawaian ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas Op Depoh sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Malim malam tadi.
Mengulas lanjut, Muhammad Firdaus berkata, sepanjang tempoh Op TBC itu juga, JPJ akan menempatkan anggota di terminal-terminal bas untuk membuat pemeriksaan ke atas semua bas ekspres yang keluar masuk ke negeri ini.
Katanya, aspek pemeriksaan juga sama seperti di depoh supaya kenderaan terlibat sentiasa dalam keadaan selamat digunakan untuk perjalanan sekali gus mengurangkan risiko kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan-kenderaan berat.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 1,004 kenderaan awam diperiksa dengan 180 daripadanya diambil tindakan dalam Op Pra TBC bagi tempoh 14 Januari hingga semalam.
“JPJ Melaka juga mengesan 337 pelbagai kesalahan manakala kesalahan tertinggi direkod membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans serta lesen memandu,” katanya. -TVS