Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek. Foto: TVS

Wang bantuan awal persekolahan hilang: Wujud pelanggaran SOP kewangan – Fadhlina

IPOH, 17 Jan: Terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kewangan sewaktu pengeluaran wang bantuan awal persekolahan berjumlah lebih RM100,000 yang dilarikan individu dalam satu kejadian di Beranang, Selangor semalam.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata itu antara maklumat awal yang diterima pihaknya dan kes itu kini dalam siasatan polis serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor bagi mengenal pasti punca kejadian.

Baca artikel berkaitan >>>>> Guru besar hilang wang bantuan awal persekolahan RM109,000 selepas tingkap kereta dipecah 

Menurut tatacara pengeluaran wang tunai yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, pengeluaran wang tunai hingga RM10,000 oleh pengetua atau guru besar hendaklah diiringi dua guru atau mendapatkan perkhidmatan pengiring daripada polis jika mengeluarkan wang tunai melebihi RM10,000.

“Kita ambil serius kerana kehilangan ini melibatkan jumlah yang cukup besar dan SOP kewangan telah dilanggar, kita ada SOP yang ketat bahawa (pengeluaran wang) lebih RM10,000 mesti ada pengiring, ini kan pula satu jumlah yang amat besar.

“Kita sedang menunggu laporan polis dan JPN Selangor, kemudian kita umumkan tindakan yang akan diambil,” katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan Chepor di sini hari ini.

Dalam kejadian 10 pagi semalam, seorang guru besar berputih mata selepas wang bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,000 yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang hilang selepas dilarikan individu yang memecah tingkap kenderaannya di Semenyih.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan, berdasarkan keterangan guru besar terbabit, mangsa yang berpengalaman 10 tahun mengendalikan transaksi pengeluaran wang tidak membuat sebarang permohonan polis pengiring kerana sudah biasa melakukan sebegitu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan