KUCHING, 17 Jan: Zapin berasal dari tradisi Tarian Zafana Orang Arab dari Hadramaut, Arab Selatan dan penghijrahan dari Hadramaut ke Malaysia menghasilkan adaptasi Melayu, Zapin Melayu, yang memperhalusi pergerakan Orang Arab Zapin mengikut estetika penduduk Asia Tenggara.
Hal yang demikian mendorong wujudnya lima jenis Tarian Zapin yang bertapak di Sarawak akibat penghijrahan ke Kepulauan Borneo iaitu Sebat, Simanggang, Saratok, Sindang dan Kuching.
Menelusuri sejarah Tarian Zapin di Sarawak, dua Tarian Zapin Sarawak masih diketahui dan dipersembahkan sehingga kini adalah Tarian Zapin Sebat yang diasaskan oleh Allahyarham Baiee Drahman dari Kampung Sebat Melayu di Sematan dan juga Zapin Sindang yang diasaskan oleh Nawi dari Kampung Sindang yang terletak di Kota Samarahan.
TVS menemu bual Pegawai Eksekutif Aktiviti Kebudayaan dan Koreografer dari Kampung Budaya Sarawak, Formalavia Tinggang bagi mengupas mengenai sejarah, pembangunan dan pemeliharaan Tarian Zapin Sarawak.
Menurut Formalavia, dua Tarian Zapin Sarawak yang masih dipersembahkan adalah dari Kampung Budaya Sarawak (KBS) sendiri dan Majlis Seni Sarawak (MSS) yang dahulunya di bawah Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU).
“Zapin di Sarawak ini yang popularnya ada dua sahaja iaitu Zapin Sindang yang dipersembahkan oleh Kampung Budaya Sarawak dan satu lagi ialah Zapin Sebat di mana ia sangat popular di seluruh Malaysia. Zapin Sindang ini kalau diikutkan berasal dari Kampung Sindang yang terletak di Kota Samarahan.
“Manakala Zapin Sebat pula berasal dari Kampung Sebat, Lundu yang diasaskan oleh Nawi dan yang mengangkat tarian ini adalah dahulunya Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) dan kini adalah di bawah seliaan Majlis Seni Sarawak (MSS),” katanya.
Katanya, walaupun ia di bawah lingkaran Zapin Melayu kerana pada hakikatnya, Seni Tari Zapin dari induk yang sama, namun setiap langkah tarian zapin itu mempunyai ragam dan jenis lagu yang dipersembahkan sendiri dengan membawa maknanya yang tersendiri.
“Bagi saya memang ada perbezaannya kalau kita melihat gerak dari segi ragam tari itu sendiri di mana Zapin Sindang itu mempunyai tiga ragam sahaja, manakala Zapin Sebat mempunyai 11 hingga 12 jenis ragam.
“Dari segi muziknya, Zapin Sindang lebih kepada mempersembahkan muzik yang popular pada masa tersebut seperti lagu Anak Ayam. Namun, muzik Zapin Sebat mempunyai lagu yang tersendiri dan tidak menggunakan lagu-lagu yang popular,” tambahnya.
Hasil dapatan TVS mengenai muzik yang dimainkan pada Tarian Zapin Sebat, Majlis Seni Sarawak (MSS) telah mencipta satu lagu khas untuk dimainkan bersama iaitu lagu “Ros Kalas” dendangan Safar Ghafar yang merupakan penyanyi lagenda Sarawak pada tahun 80-an dan juga merupakan bekas Penari KPS.
Tarian Zapin bukan sahaja popular di Kepulauan Borneo, ia juga sangat terkenal di Semenanjung Malaysia seperti Tarian Zapin Johor.
Jika dibandingkan dengan Tarian Zapin Sarawak, perbezaan yang paling ketara adalah dari segi struktur tarian itu tersendiri kerana menurutnya struktur Tarian Zapin Sarawak adalah statik berbanding dengan Tarian Zapin Johor yang bergerak bepergian.
“Pada mulanya persembahan, ia dimulakan dengan Taksim yang diiringi dengan palukan Gambus dan selepas itu, mereka menyanyikan pantun dengan mengerakkan ragamnya tersendiri.
“Selepas sahaja nyanyian pantun itu, masuk pula Kopak dan diakhiri dengan penutupan persembahan atau lebih dikenali sebagai Wainab. Jelas di sini kalau kita melihat Tarian Zapin Johor mempunyai struktur tari yang sangat jelas,” katanya.
Adakah ia masih dipelihara?
Sejarah tradisi Zapin Sarawak dikesan pada Zaman Kesultanan Sambas di sudut Barat Daya Kalimantan dan Kesultanan Brunei di sepanjang kawasan Pantai Sarawak hingga ke Pantai Barat Sabah pada abad ke-16.
Pada tahun-tahun awal, Zapin memainkan peranan penting sebagai hiburan sosial terutamanya pada Majlis Keramaian dan juga aktiviti di Masjid dan Surau, namun dek kerana arus pemodenan, tradisi itu kian dipinggirkan.
Salah satu Tarian Zapin di Sarawak iaitu Zapin Sebat kini dikatakan telah ‘pupus’ sejak lewat 1980-an kerana golongan muda di Kampung Sebat itu berpindah ke kawasan bandar bagi mencari kehidupan yang lebih baik.
“Zapin Sebat itu mengikut pengetahuan saya tidak lagi dipraktiskan terutamanya pada penduduk Kampung Sebat itu sendiri namun ia masih lagi diketahui oleh komuniti tari Sarawak yang bukan daripada Kampung Sebat itu seperti penari bebas, badan-badan organisasi serta Sekolah Seni Malaysia (SSM) Sarawak.
Siri 2: Tarian Zapin Sarawak: Jangan biarkan jadi warisan yang hilang
“Pada masa yang sama, saya berpendapat bahawa Zapin Sebat itu tidak lagi dipraktiskan di kampung itu kerana mereka mempunyai satu lagi budaya seni persembahan yang sangat popular di situ adalah Lakon Beradat,” katanya.
Formalavia juga senada berkemungkinan faktor penuaan daripada tenaga pengajar serta golongan muda di Kampung Sebat itu yang enggan meneruskan tradisi tersebut kerana arus pemodenan menyumbang besar kepada kemerosotan tradisi itu.
Ditanya mengenai usaha yang diambil oleh pihak berwajib bagi memelihara seni warisan Tarian Zapin Sarawak, usaha perlu diambil yang melibatkan semua orang dari semua peringkat akar umbi seperti yang diusahakan oleh Johor.
“Daripada kita tidak bersependapat dalam hal ini, lebih baik kita mengusahakannya bersama-sama sebagai contoh yang kita boleh ambil adalah membuat penyelidikan bagi mengetahui sejarah itu sendiri.
“Memang benar ada perbezaannya tapi kita harus meraikan variasi Tarian Zapin Sarawak itu sendiri dan daripada kita membuang masa bertengkar mana satu yang betul atau tidak, lebih baik kita memfokuskan untuk mencapai satu usaha bersama-sama supaya ia lebih jelas,” katanya yang berharap usaha yang dilakukan bukan hanya melepaskan batuk di tangga.
Namun kata Formalavia, walaupun terdapat hasil penyelidikan dan dokumentasi dalam bentuk buku mengenai seni Tarian Zapin Sarawak, ia masih lagi tidak cukup utuh bagi memelihara dan mengekalkan kedudukannya sebagai warisan asli Melayu Sarawak.
Harapan beliau adalah Tarian Zapin Sarawak ini harus dipelihara bagi menjadikannya sebagai satu rujukan buat generasi yang akan datang kerana katanya, dari situlah yang membentuk budaya dan adat yang dipraktiskan oleh golongan kini yang merupakan refleksi pada golongan dahulu.
Usaha menghidupkan semula tradisi tarian ini oleh Kampung Budaya Sarawak telah memberi kepentingan kepada semua pencinta warisan asli di Sarawak yang mahu mengekalkan Tarian Zapin Sarawak sebagai warisan budaya negeri dan juga sebagai tradisi Orang Melayu Sarawak.
Walaupun kini kita hidup dengan pelbagai budaya yang merentasi sempadan, kita perlulah mempertahankan ciri-ciri tradisi yang diwariskan sebagai budaya Melayu Sarawak yang terus cemerlang dan gemilang. – TVS