Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Dr Zaliha Mustafa, Datuk John Sikie Tayai, Lukanisman Awang Sauni, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki pada majlis jamuan malam Ulang Tahun ke-20 Pusat Jantung Sarawak di Kuching pada malam Isnin. Foto: JaPen.

Kerajaan Sarawak sedia bina pusat kanser, kerjasama dengan kerajaan Persekutuan

KUCHING, 17 Jan: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Sarawak bersedia membina sebuah pusat kanser menggunakan dana negeri menjelang akhir tahun ini jika kerajaan Persekutuan bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Menurutnya, pusat kanser itu akan menyumbang kepada penjagaan kesihatan rakyat Sarawak dan memenuhi keperluan pesakit kanser dari Sabah dan negara jiran.

“Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan yakni kita membina bangunan yang menelan kos sekitar RM800 juta, manakala kerajaan Persekutuan menyediakan tenaga pakar dan peralatan,” katanya pada majlis jamuan malam Ulang Tahun ke-20 Pusat Jantung Sarawak, di sini pada malam Isnin.

Perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut dengan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, yang turut menghadiri majlis berkenaan.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Menurutnya, kos untuk pesakit kanser mendapatkan rawatan di Kuala Lumpur adalah agak mahal, terutama bagi mereka yang berasal dari luar bandar dan golongan berpendapatan rendah.

“Jika kita mempunyai pusat kanser di sini, pesakit dari bahagian lain di Sarawak serta dari Sabah atau Kalimantan, Indonesia boleh datang untuk mendapatkan rawatan di pusat itu dengan kos yang lebih rendah.

“Sebab itu pada masa depan, kita perlu berfikir bagaimana untuk membina kemudahan ini demi rakyat kita,” katanya.

Abang Johari berkata lagi, mutu penjagaan kesihatan di Sarawak kini bertambah baik dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini, terutamanya dalam bidang kardiologi.

Menurutnya, ini adalah hasil kerjasama antara kerajaan Sarawak dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melatih pakar-pakar dalam bidang perubatan dan menyediakan peralatan perubatan.

“Anda berjaya membantu ramai pesakit, terutamanya rakyat Sarawak. Mereka dapat dirawat di dalam negeri dan pada masa sama menyelamatkan nyawa mereka,” katanya.

Sementara itu, Dr Zaliha memuji Jabatan Kesihatan Sarawak atas usahanya menggalakkan rakyat Sarawak mendapatkan suntikan dos penggalak kedua COVID-19.

Beliau berkata sebanyak 12,612 dos penggalak kedua berjaya diagihkan melalui semua pejabat kesihatan bahagian, hospital, agensi kerajaan dan fasiliti kesihatan swasta di Sarawak.

“Ini sebagai langkah meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan peningkatan kes dan kematian COVID-19. Pemvaksinan akan diteruskan secara besar-besaran di seluruh Sarawak sehingga akhir bulan ini,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan