LAWAS, 17 Jan: Tindakan pantas jiran berhampiran memadam api menggunakan kain basah berjaya menyelamatkan sebuah rumah daripada terus terbakar dan merebak ke rumah bersebelahan di Kampung Awat-Awat di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Azman Ibrahim berkata, kejadian yang berlaku jam 7.45 pagi itu disebabkan aktiviti membakar kotak telur yang diletakkan di atas meja dapur tanpa pengawasan.
“Kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya oleh jiran dengan menggunakan kaedah melemaskan (kain basah).
“Ia bertujuan menghalang kemasukan udara dengan cara menutup permukaan bahan api yang terbakar dan menggunakan teknik melaparkan dengan memindakan bahan api yang terbakar dan belum terbakar ke luar rumah sebelum pihak Bomba tiba di lokasi,” katanya kepada TVS hari ini.
Kata beliau lagi, kebakaran itu hanya melibatkan dua peratus meja dapur sahaja dan tidak melibatkan struktur rumah selain tiada kecederaan dilaporkan.
“Setelah memastikan tiada lagi punca api dan keadaan benar-benar selamat, anggota Bomba bertolak balik ke balai jam 8.48 pagi,” tambahnya. -TVS