KUCHING, 17 Jan: INTI International University & Colleges memperluaskan perkhidmatannya dengan menubuhkan Pusat Kaunseling Pendidikan di Sarawak.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn, penubuhan Pusat Kaunseling Pendidikan yang terletak di Kuching itu akan membantu pelajar tempatan dalam menentukan laluan pendidikan mereka ke peringkat seterusnya.
Katanya, ia bertindak sebagai hab serantau untuk ibu bapa dan pelajar dari Sarawak untuk mendapatkan butiran lengkap mengenai pendaftaran pengajian di kampus INTI di seluruh Malaysia, permohonan untuk penginapan dan biasiswa atau bantuan kewangan yang ada.
“Dengan adanya premis ini di Sarawak, pelajar dan ibu bapa boleh datang ke sini untuk mendapatkan maklumat lebih khusus mengenai program yang terdapat di INTI.
“Oleh itu, pusat ini memainkan peranan yang sangat penting untuk menyebarkan maklumat seperti program-program yang ada di INTI. Ini akan memudahkan penduduk tempatan untuk mendapatkan maklumat yang betul secara langsung,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Pusat Kaunseling Pendidikan INTI Kuching, hari ini.
Katanya lagi, matlamat INTI untuk melahirkan graduan sedia bekerja adalah selaras dengan visi kementerian untuk memiliki bakat berdaya saing bagi memacu aspirasi negeri tenaga kerja yang mahir dan berkebolehan.
“Dengan bekerjasama, kementerian dan INTI boleh mencapai sesuatu yang hebat untuk mencipta peluang dan masa depan yang lebih cerah untuk semua.
“Penglibatan dengan sekolah dan lain-lain agensi melalui acara dan aktiviti jangkauan lain boleh membawa perspektif baharu kepada kami dalam mencipta inovasi dan penambahbaikan kepada masa depan pendidikan,” kata Roland.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif INTI, Chong Kok Wai berkata, INTI berhasrat untuk menyediakan pengalaman akademik dan industri terbaik kepada graduan muda di seluruh negara.
“INTI menerajui penyediaan pelajar untuk kerjaya masa depan dengan memastikan mereka bukan sahaja memiliki ijazah, malah mempunyai kemahiran yang diperlukan oleh majikan,” katanya dan menambah INTI akan terus menyelaraskan kurikulumnya – TVS