GEORGE TOWN, 17 Jan: Kegiatan tiga lelaki menjual dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) di pusat-pusat hiburan di negeri ini sejak setahun lalu memberi pulangan lumayan apabila mampu membeli beberapa aset termasuk dua buah kereta mewah.
Bagaimanapun, kegiatan itu tidak bertahan lama apabila pasukan polis melakukan pembongkaran menerusi serbuan di dua buah apartmen di Jalan Penawar dan Lebuh Gat di sini Jumaat lalu.
Turut dirampas pada operasi bermula pukul 7 malam berkenaan adalah 151 paket plastik serbuk dadah jenis MDMA seberat 2.5 kilogram dan satu paket dadah ketamin seberat 25.8 gram yang keseluruhannya bernilai RM129,200.
Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, hasil siasatan mendapati suspek menyasarkan menjual dadah yang dipercayai dibungkus sendiri itu di pub dan kelab-kelab malam di negeri ini.
“Serbuk MDMA ini bahannya digunakan untuk menghasilkan ekstasi yang mudah dicairkan (dalam minuman) dan banyak digunakan di kelab malam.
“Dadah ini juga membahayakan pengunjung-pengunjung kelab malam jika ada niat tidak baik terhadap mereka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohd. Shuhaily menambah, hasil melakukan kegiatan berkenaan sejak awal tahun lalu, suspek berjaya mengumpul banyak aset.
“Daripada hasil rampasan, ia menunjukkan suspek mampu hidup mewah dengan melakukan kegiatan menjual dadah.
“Mereka mampu membeli kereta-kereta mewah untuk bergaya hasil menjual dadah tersebut pada harga RM180 hingga RM200 sepaket,” katanya lagi.
Menurut beliau, polis menyita tiga buah kereta iaitu jenis Ford Mustang GT, BMW dan Perodua Myvi selain sebuah motosikal, wang tunai RM3,559, rantai leher, rantai tangan, cincin serta loket yang keseluruhannya bernilai RM441,558.
Suspek yang kesemuanya negatif ujian saringan air kencing itu direman selama seminggu sehingga Jumaat depan bagi siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -TVS