TANJUNG MANIS, 16 Jan: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, kerja-kerja penyambungan saluran paip dari Sarikei kini sedang giat dijalankan bagi mengatasi masalah bekalan air di Kampung Belawai.
Bagaimanapun katanya, projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) itu berjalan dalam tempoh yang agak lama berbanding jangkaan sebenar.
“Perlu dijelaskan kerana sebelum ini juga JBALB sudah memaklum kepada penduduk–penduduk di kawasan ini bahawa kerja penyambungan paip dari Sarikei sedang dijalankan dan ia mengambil masa lebih lama dari apa yang telah dijangkakan.
“Oleh sebab itulah masalah air ini, ada juga beberapa tempat di Kampung Belawai menghadapi masalah ini lebih daripada satu bulan,” katanya kepada TVS di sini pada Ahad.
Len Talif berkata, beliau sudah melakukan tinjauan untuk melihat sendiri kerja –kerja yang sedang dilaksanakan oleh JBALB.
Pada masa sama, Len Talif yang juga Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar berharap projek berkenaan dapat disiapkan dengan secepat mungkin.
“Semoga segala urusan jabatan ini dapat dipermudahkan supaya bekalan air terutama sekali di bahagian di Kampung Belawai ini dapat diselesaikan dalam masa yang terdekat Insya Allah.
“Dalam masa yang sama, saya juga memohon dari JBALB untuk menyediakan tangki air, mereka membawa bekalan air ini dengan lori, dengan tanker mereka dari Sibu,” katanya. -TVS