KUCHING, 16 Jan: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berperanan menyokong usaha kerajaan dalam membentuk komuniti sejahtera.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, dengan sokongan padu NGO, bantuan kepada masyarakat dapat disalurkan dengan berkesan.
Antara NGO yang terbabit aktif dalam membantu masyarakat ialah 38 Yayasan Amal Cinta yang disifatkannya mementingkan aspek perpaduan dalam penyampaian bantuan tanpa mengira latar belakang kaum.
“Ingin saya kongsikan di sini 38 Yayasan Amal Cinta telah menyalurkan bantuan kepada golongan kurang bernasib baik yang memerlukan dari segi makanan dan sumber kewangan.
“Ia tidak mengira latar belakang kaum, tetapi diagih sama rata kepada mereka yang miskin sama ada di bandar mahupun luar bandar,” katanya pada majlis makan malam anjuran 38 Yayasan Amal Cinta sempena Tahun Baharu Cina di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengarah 38 Yayasan Amal Cinta, Dato Sri Ho Kim Hee dan Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng.
Menurut Fatimah, NGO kebajikan itu turut menghantar bantuan di Dalat, Mukah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19.
Antaranya penghantaran air bersih kepada penduduk yang terjejas susulan bekalan air terputus.
“Kami merasa amat bersyukur kerana ada NGO yang dapat menghulurkan bantuan dan memastikan rumah yang terjejas dihantar air bersih,” katanya.
Fatimah berharap agar lebih banyak NGO terlibat dalam penyaluran bantuan kepada golongan memerlukan. – TVS