KUCHING, 16 Jan: Sarawak bakal mempunyai kilang elektroliser bagi memenuhi permintaan dan keperluan terhadap tenaga hidrogen dari luar negara.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Husain berkata, terdapat permintaan bagi pihaknya untuk menghasilkan elektroliser.
“Kita memang merancang untuk mewujudkan industri elektroliser bagi tujuan industri pengeluaran hidrogen di Bintulu.
“Buat masa kini, kami baharu sahaja memulakan operasi dan ia akan ditubuhkan di Bintawa,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kereta Toyota Mirai kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.
Elektroliser merupakan komponen dalam pengeluaran tenaga hidrogen yang menukarkan air kepada hidrogen dan oksigen.
Dalam masa yang sama, katanya, penubuhan kilang elektroliser itu juga bertujuan bagi penghasilan hidrogen bagi kegunaan Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) yang akan beroperasi tahun ini.
“Kita akan mengeluarkan tenaga hidrogen bagi ART dan pada tahun hadapan Sarawak memerlukan kira-kira dua tan hidrogen sehari. Justeru, kita perlu meningkatkan pengeluaran kepada lima tan sehari.Oleh itu, kita perlu menghasilkan elektoliser bagi kegunaan tersebut,” ujarnya.
Pada Julai lepas, SEDC Energy telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bagi pengeluaran tersebut.- TVS