SIBU, 16 Jan: Individu yang mempunyai komorbid dinasihatkan mengambil suntikan dos penggalak COVID-19, selain mengelak berada di kawasan yang sesak dengan orang ramai.
Residen Sibu, Wong Hee Sieng berkata, walaupun tiada peraturan khusus atau Prosedur Standard Operasi (SOP), individu komorbid lebih berisiko dijangkiti jika berada di tempat awam terutama menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) ini.
“Orang awam digalakkan untuk memakai pelitup muka di kawasan sesak dengan meneruskan amalan SOP seperti menjaga jarak sosial,” katanya pada program pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 bagi agensi-agensi Kerajaan Bahagian Sibu di Lobi Kompleks Islam Sibu hari ini.
Beliau berkata, respons orang awam terhadap pengambilan dos penggalak kedua tidak begitu memberangsangkan kerana keadaan semasa tidak seteruk dahulu, malah angka kemasukan pesakit agak rendah.
“Akibat kealpaan, kita mungkin jadi mangsa, justeru pentingnya bertindak awal sebelum dijangkiti,” ujarnya.
Dalam pada itu penjawat awam serta ahli keluarga mereka digalakkan untuk mendapatkan suntikan vaksin tersebut tanpa mengira status kesihatan bertempat di Bilik Seminar, Tingkat 9 Wisma Persekutuan Blok 3 di sini bermula jam 9 pagi hingga 4 petang pada 11 hingga 30 Januari ini kecuali hari cuti umum pada 21 hingga 24 Januari ini.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian Hotline PPV di talian 019-8159608 untuk sebarang pertanyaan mengenai pemberian dos penggalak kedua dan pertama. – TVS