Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain (kanan) pada sidang media berhubung kes kecurian kabel utiliti di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini. Foto: TVS

11 lelaki leka curi kabel utiliti, pura-pura sedang bekerja

GEORGE TOWN, 16 Jan: Polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 27 kes kecurian kabel utiliti membabitkan kerugian hampir RM1 juta selepas menahan 19 individu dalam operasi di sini dan Sungai Petani, Kedah baru-baru ini.

Kegiatan berkenaan mula terbongkar selepas polis melakukan pemeriksaan ke atas 11 individu yang sedang leka melakukan kegiatan berkenaan sambil berpura-pura kononnya sedang bekerja di persimpangan lampu isyarat Jalan Tanjung Bungah di sini.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, ketika pemeriksaan kira-kira jam 2.40 pagi itu, suspek berkenaan memakai pakaian lengkap seperti pekerja kontrak bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Mereka didapati sedang melakukan kerja memotong dan mengeluarkan kabel bawah tanah melalui ‘main hole’ tanpa sebarang dokumen.

“Turut terlibat adalah seorang sub-kontraktor lelaki berusia 30-an yang dilantik oleh syarikat Telekom Malaysia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Tambah Mohd. Shuhaily, hasil operasi berkenaan berjaya membawa kepada penahanan lapan individu lain termasuk seorang wanita dalam serbuan di Sungai Petani yang terdiri daripada kumpulan pencuri dan pembeli kabel curi.

“Dengan penahanan individu berusia 27 hingga 47 tahun itu, kita berjaya selesaikan 27 kes curi kabel iaitu 17 di Pulau Pinang dan 10 kes di Kedah yang membabitkan kerugian kira-kira RM910,448.

“Polis turut merampas empat buah kenderaan, 65 batang kabel curi, kon jalan raya, baju keselamatan, pemotong besi, gergaji, tukul besi dan lain-lain,” katanya.

Tambah Mohd. Shuhaily, hasil ujian saringan air kencing mendapati tujuh daripada suspek positif syabu, manakala 14 daripada mereka mempunyai antara dua hingga 14 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan