Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Orang awam iaitu Mohammad Hasfa, Zefree Zakaria dan Mohd Ismail Ramli ketika ditemui TVS di Kuching. Foto: TVS

Rakyat Sarawak sambut baik status Sarawak sebagai wilayah

KUCHING, 15 Jan: Rakyat Sarawak menyambut baik langkah mewartakan status Sarawak dan Sabah sebagai wilayah seperti yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.

Sehubungan itu, wartawan TVS berkesempatan bertanya pendapat orang ramai berhubung perkara itu dan mereka  berasa senang dengan pengumuman yang dibuat.

Baca artikel berkaitan:

  1. 1. Sabah, Sarawak kini berstatus wilayah, bukan lagi negeri – Ahmad Zahid
  2. 2. Masukkan status wilayah untuk Sabah, Sarawak dalam Perlembagaan – Dr Jayum

Bagi Mohammad Hasfa dan Zefree Zakaria, sebagai rakyat Sarawak mereka masing-masing menghargai dasar pertukaran status negeri ke wilayah kerana percaya pengiktirafan itu dapat mengembalikan hak-hak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Jadi, ini satu kebanggaan kepada kita rakyat Sarawak kerana ia sedikit sebanyak akan membantu kita untuk mengembalikan hak-hak Sarawak melalui Perjanjian MA63 yang telah kita perjuangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Mohammad Hasfa.

“Pada pandangan saya, ia merupakan satu berita yang baik bagi negeri Sarawak dan pengiktarafan untuk negeri Sarawak,” kata Zefree Zakaria.

Di samping itu, Mohd Ismail Ramli berharap menerusi pertukaran status negeri ke wilayah ini dapat membawa pembangunan yang berterusan di Sarawak.

“Saya rasa ia perkara yang baik kerana akan memimpin kita ke arah jalan yang betul seperti merealisasikan salah satu manifesto dalam pilihan raya iaitu mengembalikan hak-hak Sarawak melalui Perjanjian MA63. Kita juga mengharapkan lebih banyak peruntukan terutamanya dalam bidang pendidikan,” katanya.

Sementara itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, status Sarawak dan Sabah sebagai wilayah dalam Malaysia masih belum diwartakan, dan isu berkenaan hanya akan dibincangkan dalam mesyuarat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara kerajaan Persekutuan serta Sarawak yang dijadualkan pada 19 Januari ini,

Beliau berkata perubahan status kedua-dua negeri itu sebagai wilayah buat masa ini adalah pada peringkat cadangan sahaja.

“(Status Sabah dan Sarawak sebagai wilayah) belum lagi diwartakan. Pewartaan sebagai wilayah itu hanya cadangan sahaja, dan dari mula lagi memang kita (Sabah dan Sarawak) sepatutnya (berstatus) wilayah tapi keadaannya berubah dalam 60 tahun, jadi sebab itu kita meminda Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya pada perhimpunan agung parti itu berkata, kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia bukan lagi berstatus negeri sebaliknya wilayah, bagaimanapun beliau tidak menyatakan sejak bila status berkenaan berkuat kuasa,-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan