Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Walaupun telah lebih sebulan dilaporkan hilang ketika mengerjakan umrah, usaha untuk mencari dan mengesan seorang guru, Musthafa Kamal Abdullah, 49, tetap diteruskan oleh keluarganya. Foto: Facebook Cikgu Huda

Lebih sebulan hilang ketika tunai umrah, usaha cari guru diteruskan keluarga

ByBernama

BATU PAHAT, 15 Jan: Walaupun telah lebih sebulan dilaporkan hilang ketika mengerjakan umrah, usaha untuk mencari dan mengesan seorang guru, Musthafa Kamal Abdullah, 49, tetap diteruskan oleh keluarganya.

Anak sulungnya, Muhammad Nabil, 26, berkata dia sendiri akan berangkat ke Makkah pada Jumaat ini (20 Jan) dan akan berada di Tanah Suci selama kira-kira 14 hari.

Foto: Facebook Cikgu Huda

Dia yang akan ditemani oleh adiknya, Muaz, 17, dan beberapa rakan ayahnya itu akan terus mencari kerana mereka sekeluarga termasuk ibunya, Zurina Muhammad@Shamsuddin, 49, yakin yang ayahnya masih lagi hidup.

“Saya sendiri akan mengedarkan poster yang memaparkan wajah babah apabila berada di Makkah nanti setelah selesai mengerjakan umrah dan berharap dengan usaha ini, ia akan membuahkan hasil dengan ayah berjaya dijumpai nanti.

“Saya turut berharap usaha dan harapan saya sekeluarga untuk menemukan babah akan terus mendapat kerjasama daripada kedua-dua kerajaan (Malaysia dan Arab Saudi),” katanya ketika ditemui semasa lawatan Ahli Parlimen Sri Gading Aminolhuda Hassan di kediaman guru berkenaan di Sri Gading, di sini, hari ini.

Jelas Muhammad Nabil lagi, dia bersama keluarga turut berikhtiar dengan merujuk beberapa pengamal perubatan Islam, serta tidak putus-putus mengadakan solat hajat.

Sementara itu, Muaz yang bersama Musthafa Kamal yang mengerjakan umrah ketika itu berkata ayahnya disedari hilang apabila tiada di bilik hotel setelah menyatakan dirinya tidak sihat dan tidak keluar untuk mengerjakan tawaf bersama.

Beliau berkata pada mulanya dia tidak bimbang kerana ayahnya fasih berbahasa Arab dan beranggapan melakukan tawaf sendirian, namun mulai risau apabila tersebar gambar ayahnya yang memakai ihram di dalam kenderaan dipercayai ambulans melalui aplikasi WhatsApp.

“Mutawif kemudiannya pergi ke hospital untuk mencari babah tetapi diberitahu yang babah telah keluar dan telah dihantar pulang ke hotel, tetapi ketika semakan di hotel mendapati dia tiada di premis itu. Namun pada hari ketiga kehilangan babah, beg silang kepunyaannya dipulangkan ke hotel,” katanya.

Jumaat lepas, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilaporkan berkata Ketua Perwakilan Malaysia (Malawakil) di Arab Saudi memantau perkembangan Musthafa Kamal yang dilaporkan hilang sejak 12 Disember itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan