KUCHING, 15 Jan: Kejohanan Catur Untuk Orang Kurang Upaya (OKU) anjuran Malaysia Lions International edisi ketiga menampilkan kelainan apabila peserta akan bersaing tanpa mengira kategori.
District Governor 308 A2 The Lions Clubs International, Kapitan Connie Loh Ming Hua berkata, kejohanan itu juga memberi peluang kepada golongan kurang upaya untuk berinteraksi sesama sendiri.
“Objektif utama pertandingan ini adalah untuk membolehkan OKU berkawan dan belajar sesama sendiri. Apabila melihat OKU seperti cacat pendengaran atau fizikal bermain catur, kita akan berasa kagum dengan semangat mereka,” katanya.
Connie berkata demikian dalam sidang media Kejohanan Malaysia Lions International Chess Championship for The Disabled Ketiga anjuran Lions Club International dengan kerjasama Persatuan Catur Negeri Sarawak serta Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Sarawak (PERSON), di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Presiden Lions Club of Kuching City, Matthew Pham, Presiden Persatuan Catur Negeri Sarawak, Abang Mohammad Reduan serta Presiden Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Sarawak (PESRON), Matthew Chin.
Sementara itu Connie memberitahu kejohanan ini mampu menjadi satu platform bagi OKU untuk membina keyakinan dan mengasah kebolehan masing – masing.
“Peningkatan minat terhadap English Chess di kalangan OKU telah memberi Lions Club kekuatan untuk terus berkhidmat.
“Pada masa sama, kita juga menyediakan platform kepada mereka untuk mengambil bahagian,”katanya.
Kejohanan ini bagi peringkat Sarawak bakal diadakan pada 29 Januari ini manakala pusingan akhir akan berlangsung di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada 19 Mac 2023.
Pusingan akhir bakal menyaksikan pemenang pusingan awal bersaing dengan peserta dari seluruh negara.
Seramai 24 peserta dari Sarawak telah mendaftar untuk menyertai kejohanan ini. -TVS