LUBOK ANTU, 15 Jan: Seorang bekas tuai rumah ditahan kerana disyaki bersubahat menyeludup masuk empat lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini pada Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Lubok Antu, Deputi Superintenden (DSP) Victor Ripon berkata, suspek yang berusia 65 tahun itu melakukan perbuatan berkenaan dengan menggunakan sebuah kenderaan jenis Toyota Innova di Simpang Lubok Subong, Engkelili.
“Kesemua suspek telah ditahan oleh sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu kerana berada dalam keadaan mencurigakan kira – kira pukul 7.30 malam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau memberitahu, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua penumpang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Suspek yang merupakan bekas tuai rumah dan kini bekerja sebagai petani direman selama 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bermula 13 Januari hingga 9 Februari 2023 manakala empat PATI terbabit direman 14 hari bermula 12 hingga 25 Januari ini,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Anti-Pemerdagangan dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan Seksyen (1)(c) Akta Imigresen 1959/63. -TVS